Dakwa laman itu, persoalan tersebut dibangkitkan oleh 'kebanyakan rakyat Malaysia' (siapa, parti atau negeri mana tidak disebut) ekoran kebangkitan rakyat di dua negara terbabit.
Bagaimanapun pada beberapa perenggan awal lagi, artikel dalam laman web itu mengalah. Mengakui bahawa ia tidak akan berlaku kerana negara Asia Tenggara tidak berdepan masalah pengangguran. Rakyat pula tidak kebuluran manakala Malaysia pula terus mengamalkan demokrasi dengan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan.
Berpengalaman luas sebagai Menteri Luar, malah pernah bekerja di bawah empat Perdana Menteri dan kini dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri paling kanan dalam Kabinet Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan: "Apa yang berlaku di Mesir ketika ini langsung tidak berkaitan dengan nilai perjuangan rakyat di Malaysia."
Ketika ditemui Utusan Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu memberitahu, di bawah pimpinan Najib dan kepimpinan lima Perdana Menteri sebelum ini, negara mengecap peringkat-peringkat pencapaian hebat untuk rakyatnya.
"Tidak ada seorang pun perintah sampai 30 tahun atau 25 tahun tanpa proses demokrasi.
"Tapi yang saya lihat di sana, (Presiden Hosni) Mubarak adalah orang yang menggunakan sistem itu untuk menafikan hak-hak rakyatnya tetapi di sini kita bebas. Kebebasan kita telah dikecapi oleh pembangkang. Jadi barang siapa yang mengatakan bahawa kononnya bahang Mesir akan berlaku di Malaysia, ia adalah buta dan tuli," kata beliau.
Dengan tidak lama lagi Malaysia akan melaksanakan pilihan rayanya, disusuli terdekat Pilihan Raya Negeri Sarawak serta Pilihan Raya Umum dalam tempoh beberapa bulan lagi sama ada pada 2011, 2012 atau 2013, pada masa itulah kerajaan dan pembangkang boleh masuk gelanggang dan mengambil inisiatif demokrasi mereka sendiri.
Dan kata Rais, tidak timbul isu orang ramai berkumpul sehingga ratusan ribu kerana isu di Mesir tidak ada kaitan langsung dengan isu di Malaysia.
"Pendapatan negara kita bertambah walaupun nilai-nilai dan harga tinggi dalam masa tertentu seperti harga getah dan sawit melambung tinggi serta pendapatan Felda yang tidak kurang RM3,000 sebulan bagi satu keluarga, ia sesuatu yang sangat bersifat kesyurgaan bagi negara di Timur Tengah, bukan di Malaysia.
"Tinggal lagi kata-kata orang tua, sang ikan tidak tahu di dalam air sehingga ia berada di atas pasir," ujarnya sinis.
Menyingkap tragedi di Mesir, kata Rais, ia terjadi sebegitu kerana perjumlahan sentimen rakyatnya lebih dari tiga dekad telah tidak diberi penjurusan keluar. Misalnya, hak untuk berhimpun selama ini tidak ada langsung. Demikian juga hak untuk bersuara. Tidak ada media, televisyen dan radio. Malah akhbar tidak dibenarkan sama sekali.
Kata menteri itu: "Presiden itu sebenar-benarnya berkuasa autokratik dengan tidak pernah menjuruskan pada kebajikan masyarakat seperti yang kita buat di Malaysia, Indonesia dan negara-negara membangun lain. Dan dalam banyak hal, mereka lebih teruk daripada negara-negara yang berpenghulukan tentera.
"Hal ini sudah nampak dan jelas bukan sahaja di Mesir, malah negara-negara lain yang memiliki kesan autokratik harus membuat penilaian hak demokrasinya untuk memberi pulangan kepada rakyat."
Rais turut menarik perhatian bagaimana pelajar Malaysia di Mesir perlu melihat kembali keilmuan yang diperoleh daripada universiti di negara berkenaan.
"Ini kerana kebanyakan keilmuan yang diberi adalah untuk membawa fahaman ultra di Mesir. Ia seperti 'senjata makan tuan' ekoran kebanyakan ideologi yang diajar adalah untuk memberontak, berkasar dan bersifat Talibanisme.
"Ini sekadar pandangan untuk masa depan pelajar dan sebaik-baiknya ia disebarkan dengan membuat kajian tidak hanya di Mesir. Namun pulangan yang diterima di Mesir ini, saya lihat pulangan yang tidak dapat dikawal lagi oleh Mubarak," katanya.
"Dalam soal ini juga, 'tempias' pasti terkena pada Israel yang selama ini menganggap Mesir rakan segandingannya. Apakah rejim baru di Mesir dapat membuat polisi-polisi baru terhadap Israel, soal beliau.
"Oleh itu kalaulah ada suara-suara nakal yang ingin mengaitkan perkembangan di Mesir dengan Malaysia atau untuk mendapat sedikit 'dividennya', saya kira mereka bermimpi di tengah hari kerana isu-isu yang timbul tiada kaitan langsung dengan di sini," katanya.
Namun barangkali 'mereka' akan berkata pula bahawa hak dari kebebasan sejagat tidak ada dan mungkin tidak cukup di Malaysia.
Menjawab persoalan ini, ujar Rais: "Kita nak tanya yang mana tidak ada, yang mana tidak cukup?"
Contoh terdekat, parti-parti pembangkang mempunyai akhbar sendiri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri tidak berupaya untuk menentukan hak-haknya lagi.
Apa pun, isu di Timur Tengah khususnya di Mesir tidak ada alasan untuk Pas, DAP atau PKR membangkitkannya sebagai sesuatu yang logik di Malaysia.
source - Utusan Malaysia Online, 3 Feb 2011